|
Oleh Sylvia Lim
Warga Singapura kini tidak mampu lagi mendabik dada. Daripada menerajui tunggak 4 Harimau Asia dalam tahun 1990an, ekonomi Singapura telahpun menguncup di belakang ekonomi negara-negara Asia yang lain semenjak tercetusnya krisis kewangan Asia pada 1997 (M. Bhaskaran, 2004). Persaingan hebat daripada negara-negara berkos rendah yang telah giat membina keupayaan masing-masing telahpun memberikan pengajaran getir kepada sektor perniagaan Singapura yang terpaksa merangka semula perniagaan mereka untuk menarik pelaburan yang boleh menjanakan pekerjaan sambil mengurangkan aliran keluar pekerjaan ke negara-negara luar.
Bilamana berhadapan dengan tekanan untuk mengurangkan kos, sektor perniagaan terus menoleh kepada kos sumber manusia. Di peringkat nasional, dasar-dasar telah diubah untuk mengurangkan bil saraan upah; contohnya, semakan semula dibuat terhadap keputusan awal mengenai Central Provident Fund yang sepatutnya caruman bahagian majikan di kembalikan semula kepada tahap asal 20%, tidak menggalakkan pengupahan berdasarkan senioriti dan sebaliknya mempromosikan pengupahan berbentuk fleksibel.
Sampai ke tahap manakah dasar-dasar yang lebih menguntungkan majikan akan diterap sambil hak-hak pekerja diabaikan? Pindaan kepada Akta Pekerjaan yang diluluskan oleh Parlimen pada September 21, 2004 seharusnya menyebabkan keresahan di kalangan para pekerja di Singapura.
Apa yang terjadi di Parlimen
Melalui pindaan akta tersebut, Pesuruhjaya Pekerja telah diamanahkan untuk mengecualikan sesetengah majikan daripada membayar upah kepada pekerja-pekerja bukan eksekutif yang berpendapatan kurang daripada $1,600 sebulan untuk kerja-kerja tambahan yang telah mereka siapkan. Kerja-kerja tambahan ini termasuklah kerja lebih masa dan kerja pada hari rehat dan cuti umum. Sebelum daripada pindaan akta tersebut, para pekerja dilindungi Akta Pekerjaan bilamana mereka bekerja lebih masa. Mereka dibayar upah mengikut jam dan juga menikmati 1.5 ke 2 kali ganda upah pokok mereka. Pindaan yang terbaru itu sangatlah meluas sehinggakan ia memungkinkan, dengan kelulusan si Pesuruhjaya, yang pekerja itu tidak akan langsung dibayar apa-apa untuk kerja-kerja tambahan yang ia lakukan.
Semasa membentang pindaan tersebut, Pemangku Menteri Sumber Manusia memberitahu ahli-ahli Parlimen bahawa majikan harus diberikan kelonggaran dalam menangani agihan tenaga kerja mereka. Katanya lagi, pada adatnya putaran perniagaan mempunyai fasa-fasa yang sibuk dan yang tidak sibuk. Oleh itu, para majikan harus dibenarkan untuk tidak mengupah pekerja mereka semasa fasa tidak sibuk dan, di dalam masa lain, kerja-kerja tambahan di dalam fasa sedang sibuk tidak perlu diganjari tetapi diimbuhkan dengan time-off semasa fasa yang tidak sibuk tadi. Tujuan penyusunan semula ini, seperti lazimnya dibuatkan alasan setiap kali Singapura merombak semula struktur pengupahannya, ialah untuk “menyelamatkan pekerjaan” rakyat.
Di dalam menjalankan kuasa yang diberikan melalui pindaan Seksyen 41A Akta Pekerjaan, Pesuruhjaya Sumber Manusia akan mengecualikan majikan daripada perlu membayar pekerja untuk kerja-kerja tambahan setelah mengambilkira “keperluan operasi majikan dan kebajikan para pekerja”.
Semasa membangkang pindaan ini, Setiausaha Agung Parti Pekerja dan Ahli Parlimen bagi Hougang, Low Thia Khiang membangkitkan yang perubahan ini akan mengakibatkan penghakisan perlindungan ke atas golongan berpendapatan rendah yang sentiasa tidak bermaya bilamana berlaku tawar-menawar dengan majikan mereka, apatah lagi di dalam pasaran pekerjaan yang amat tidak menggalakkan sekarang. Pindaan ini bukannya melindungi golongan tersebut tetapi sebaliknya mendedahkan mereka kepada eksploitasi yang lebih dahsyat.
Jalan sukar buat Pesuruhjaya Sumber Manusia
Oleh kerana resam perniagaan ialah untuk memastikan pulangan hasil yang maksima kepada para pemegang saham, kebanyakan majikan akan memastikan hanya imbuhan yang minima diberikan kepada pekerja mereka, sesuai dengan peruntukan undang-undang. Dengan pindaan terbaru ini yang memberikan kuasa mutlak kepada Pesuruhjaya untuk meluluskan pengecualian, sudah pastilah para majikan akan berduyun-duyun memohon keistimewaan ini.
Bagaimanakah si Pesuruhjaya akan tergamak melaksanakan tugas yang mustahil ini dengan memberikan pengecualian kepada majikan daripada membayar pekerja mereka sambil mendabik dada mengatakan ianya dilakukan untuk kebaikan para pekerja itu sendiri? Besar kemungkinan justifikasinya nanti akan berkisar di sekitar kos tanggungan oleh pihak majikan. Seandainya kos upahan memamah keuntungan majikan, sehinggakan si majikan memilih untuk membuang pekerjanya, maka Pesuruhjaya berkemungkinan akan mengecualikan majikan berkenaan daripada mengimbuhi para pekerjanya untuk kerja-kerja lebih yang telah mereka korbankan demi mengelakkan daripada berlakunya pembuangan kerja.
Bagaimanakah bentuk “tahap terdesak operasi” di kalangan majikan yang akan menjadi justifikasi bagi Pesuruhjaya itu mengizinkan pengecualian? Adakah ianya hanya sekadar untuk syarikat berkenaan mencecah titik pulang modal, atau untuk memastikan syarikat-syarikat yang beruntung dapat mengekalkan margin keuntungan mereka agar memberikan pulangan terbaik kepada para pemegang saham? Yang peliknya ialah Singapura pernah menyaksikan pembuangan kerja di dalam syarikat-syarikat kerajaan yang beruntung seperti PSA, di mana kerajaan sendiri menganggapnya sebagai langkah perlu. Oleh itu, tidak ada suatu jaminan pun bahawa pekerjaan kita akan berkekalan walaupun kita telahpun berkorban dan bekerja tambahan secara percuma.
Bagaimana pekerja akan terbabit
Hujah bahawa pekerja akan diganjari dengan time-off dan tidak dibayar dengan wang sangatlah merisaukan golongan pekerja memandangkan bebanan yang berat yang akan dipikul oleh mereka.
Pertamanya, seseorang itu mungkin dikehendaki bekerja melebihi masa dalam sehari atau seminggu, dengan tidak dibayar apa-apa. Sebagai contohnya, dia mungkin diarah bekerja melebihi 8 atau 9 jam sehari, atau melebihi 44 jam seminggu. Keduanya, dia mungkin diarah bertugas pada hari-hari rehat atau hari cuti, tanpa mendapat apa-apa bayaran.
Sebelum ini, pekerja yang bekerja lebih masa mengorbankan kerehatan, kehidupan berkeluarga dan bersosial mereka kerana mereka dijaminkan dengan pendapatan tambahan. Sekarang ini, mereka mungkin dikerah bekerja lebih tapi tanpa bayaran, dan hanya sekadar diberikan time-off yang bakal ditetapkan oleh majikan masing-masing pada waktu yang syarikat rasakan sesuai.
Di sebaliknya, terdapat ramai juga orang yang menjawat dua jawatan kerana upah kerja yang rendah di tempat kerja asal. Dengan mencerobohi masa lapang pekerja selepas waktu bekerja, masa hari rehat dan hari cuti, keupayaan golongan ini untuk meraih pendapatan tambahan akan terhalang. Ini bakal mengundang bencana ke atas sesetengah keluarga.
Sangatlah menarik bilamana kita meneliti Laporan Kajian Tenaga Buruh 2003 (Kementerian Sumber Manusia) di mana kadar purata jam bekerja golongan kurang berpelajaran adalah lebih tinggi (51 jam seminggu) daripada purata kebangsaan (49 jam). Laporan itu menjelaskan bahawa keadaan ini disebabkan golongan tersebut terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung kehidupan hidup (dan mungkin juga boleh diandaikan bahawa mereka digajikan tidak sepadan). Tukang cuci, buruh dan pekerja yang sekelas dengannya bekerja secara purata 58 jam seminggu, di mana kaum wanitanya di dalam kategori ini bekerja sehingga 62.3 jam seminggu.
Mungkin ada yang mempertikaikan bahawa pekerja itu boleh beralih kepada majikan yang lebih prihatin seandainya keadaan menjadi tertekan. Ini mungkin benar sekiranya pekerjaan bercambah tetapi rata-rata ianya bergantung kepada keadaan pasaran sediada dan keupayaan pekerja itu sendiri untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Dalam keadaan pasaran buruh yang menyebelahi majikan sekarang ini, di mana jenis pekerjaan yang terpilih sukar ditemui, ramai yang tidak mempunyai pilihan. Dua hari selepas pindaan akta itu diluluskan oleh Parlimen, media tempatan melaporkan yang SATS (Singapore Airport Terminal Services, anak syarikat Singapore Airlines) telahpun membekal-keluar (outsource) pekerjaannya. Seorang tukang cuci wanita yang pernah mendapat upah $1,400 sebulan dilaporkan telah ditawarkan semula jawatannya yang asal oleh kontraktor berkenaan tetapi pada kadar $1,000 sebulan. Beliau terpaksa menerimanya kerana perlu menyara nafkah keluarga.
Perlunya polisi tenaga buruh yang seimbang di Singapura
Di dalam usaha mengekang kerisauan barisan pekerja tentang amalan bekal-keluar, Menteri tanpa Portfolio (Ketua kepada Pergerakan Buruh) memberitahu wartawan September lalu bahawa amalan tersebut akan membuka peluang pekerjaan yang baru, walaupun peluang-peluang ini mungkin tidak seperti yang diharapkan oleh para pekerja yang telahpun diberhentikan.
Amatlah kritikal di dalam bulan-bulan dan tahun-tahun yang akan datang untuk kita menjejaki bukan saja jumlah pekerjaan dan statistik pekerjaan/pengangguran. Singapura menggunapakai definisi antarabangsa tentang pekerjaan sebagai seseorang yang digajikan asal mana dia bekerja sekurang-kurangnya satu jam untuk mendapat untung pada minggu sebelum kajian pekerjaan itu dijalankan. Jadi, amatlah mustahak untuk diukuri mutu pekerjaan yang dimaksudkan. Satu lagi kayu ukuran penting ialah memastikan berapa lamakah seseorang penganggur itu mengambil masa untuk memperolehi pekerjaan alternatif. Jangkamasa yang lebih lama akan memberi kesan terhadap kemahiran pekerja itu dan daya tarikan majikan terhadapnya, yang akhirnya memberi kesan terhadap penyaraannya ke atas keluarganya sendiri.
Berdasarkan Laporan Suku Tahun Kedua 2004 Pasaran Buruh (MOM), kadar pengangguran jangka panjang (mereka yang tidak beroleh pekerjaan selama 25 minggu atau lebih) di kalangan pemastautin rakyat Singapura adalah 1.7%, lebih 1.5% daripada tahun sebelumnya. Hampir tiga daripada sepuluh pemastautin penganggur (29% atau 30,000) telahpun mencari pekerjaan sekurang-kurangnya selama 25 minggu, berbanding 25% (atau 26,000) setahun yang lampau. Kadar pengangguran yang lama kerap memberi kesan kepada golongan kurang berpelajaran (mereka yang berpendidikan menengah dan lebih rendah daripada itu) dan golongan warga tua (mereka yang berumur 40 dan ke atas). Masing-masing, mereka membentuk 66% dan 60% golongan yang lama menganggur. Ini menimbulkan masalah yang unik di Singapura kerana mereka yang berada di dalam lingkungan 40an kerapkali menanggung beban kewangan yang berat.
Bagaimana pula dengan ledakan Pengeluaran Dalam Negara Kasar (GDP) baru-baru ini? Seorang pakar ekonomi terkemuka telah menyebut bahawa pendapatan yang dihasilkan dalam Singapura (di dalam industri seperti kimia, farmaseutikal dan semi-konduktor) menampakkan kenaikan komponen keuntungan yang lebih tinggi (40 hingga 45%) berbanding dengan komponen upah, bila dibandingkan dengan Malaysia, USA dan Korea (kurang daripada 40%). Ini bermakna pendapatan yang diperolehi telah dicatatkan sebagai keuntungan untuk perniagaan dan bukan sebagai gaji yang dinikmati pekerja. Tambah beliau lagi, syarikat-syarikat milik asing menjana keuntungan yang jauh berlipatkali ganda di Singapura dan sedikit sangat syarikat-syarikat Singapura yang mempunyai saham di dalam syarikat-syarikat berkenaan. Sementara penjanaan pertumbuhan ekonomi menjadi teras kerajaan, amat perlu supaya perhatian yang lebih khusus ditumpukan terhadap usaha pengagihan yang lebih saksama hasil daripada perkembangan ekonomi, khususnya mencari jalan untuk meningkatkan perkongsian rakyat jati Singapura di dalam pertumbuhan ekonomi ini (M Bhaskaran, 2004).
Menjaga tembolok sendiri di masa depan?
Globalisasi telahpun membawa kesedaran kepada Singapura yang serba mahal ini. Kehilangan pekerjaan kepada jiran-jiran yang lebih murah tenaga kerja mereka tidak dapt dikekang lagi. Parti Pekerja sedar bahawa dasar bertahan dan berlindung tidak lagi berkesan. Setiap warga, termasuk perkerja, mesti menghadapi hakikat yang ditempuhi sekarang dan berubah menjadi lebih efektif di segi kos.
Sementara sektor perniagaan sememangnya akan sentiasa mengekang kemaraan kos operasi dan mengaut keuntungan, apakah pula peranan pihak kerajaan? Patutkah ia membiarkan kuasa pasaran menghimpit para pekerja? Parti Pekerja percaya bahawa, pada tahap yang minima, kerajaan mesti memastikan yang rakyatnya dibayar dengan adil dan dilayan dengan cara bermaruah serta dilindungi daripada penindasan majikan-majikan yang tidak berhati-perut. Dengan ini, tindakan kerajaan menghapuskan hak pekerja untuk mendapat bayaran upah untuk kerja lebih adalah di luar batasan kemanusiaan. Kami yakin masanya telah sampai di mana sebuah badan pemantau buruh yang jelas bebas daripada belenggu perlu diujudkan untuk memastikan amalan perburuhan yang saksama berjalan lancar. Ini dapat diujudkan melalui seorang pegawai bebas (Ombudsman Buruh) yang melaporkan terus kepada Parlimen.
Semakin banyak polisi-polisi pro-perniagaan diterapkan oleh Singapura, warga pekerja akan terpaksa mengambil inisiatif yang lebih untuk mencari nafkah. Separuh daripada mereka akan lebih berjaya daripada yang lain.
Semasa keadaan ekonomi makmur, majikan dan pekerja bergandingan ke arah meningkatkan keuntungan dan pendapatan untuk faedah semua pihak. Semasa keadaan menjadi sukar dan penyusunan semula perlu dibuat, majikan dan/atau pekerja harus merendahkan pengharapan masing-masing. Di Singapura, keadaan polisi yang sentiasa pro-perniagaan dan kekangan terhadap pergerakan perburuhan bermakna bahawa trend mengorbankan hak-hak pekerja akan berterusan. Sampai bilakan warga Singapura dapat bertahan dengan keadaan sebegini?
|