Ayuh Bangun Demi Singapura

Sylvia Lim, seorang pensyarah perundangan, berkongsi pemikiran serta pengalaman beliau dalam menyertai pembangkang. Tegas beliau, "Bakti sebenar bukannya datang daripada pengkritik yang terpinggir daripada menyertai perjuangan, tetapi daripada manusia yang terjun ke arena ini dan berkemelut bersama-samanya!!"

Anda seharusnya melihat raut wajah penuh keresahan pada rakan-rakan saya bila diberitahu yang saya telah menyertai Parti Perkerja "Cepatlah uruskan hartabenda kamu"; "Awak ada pekasam yang mungkin mereka boleh cungkil nanti?"; "Bagaimana susulan cukai pendapatan kamu - terkini?".

Saya bukanlah seorang penggiat politik semulajadi tetapi saya yakin keujudan parti-parti pembangkang dan Ahli-ahli Parlimen pembangkang amat penting untuk Singapura. Agaknya naluri semulajadi pada para peguam ialah untuk menilai kepelbagaian pendapat dan untuk menyoal hujah-hujah. Kami percaya bahawa perdebatan hujah akan menghasilkan keputusan yang lebih wajar sekiranya ada dua pandangan berbeza yang boleh saling disiasat oleh pihak lawan yang masing-masing lengkap bersedia dengan hujah-hujah mereka. Dan bilamana sesuatu perbicaraan hanya berlangsung daripada sudut pandangan satu pihak sahaja, undang-undang menegaskan agar pihak terbabit itu benar-benar telus dan ikhlas sambil mendedahkan semua fakta-fakta walaupun terkadang boleh merugikan perjalanan kes tersebut. Ini semua agar mahkamah dapat mencapai keputusan yang, sekurang-kurangnya, berasaskan maklumat yang paling tepat.

Sepanjang hayat saya, sebuah Parti sahaja telah mendominasi Parlimen. Menggubal undang-undang dan pindaan terhadap Perlembagaan agak mudah diperbuat. Perlembagaan adalah sebuah dokumen asasi; salah satu daripada fungsi utamanya ialah untuk menggariskan had kuasa Kerajaan terhadap rakyat. Pindaan Perlembagaan haruslah dibuat dengan penuh hemah dan di sesetengah negara seperti Switzerland, Perlembagaan hanya dapat dipinda melalui pungutan suara rakyat. Bandingkan dengan situasi kita di sini. Sejak 1984 bila saya bersua buat pertama kalinya dengan Perlembagaan di universiti, dokumen ini telahpun menebal tiga kali ganda disebabkan banyaknya pindaan yang telah dilakukan terhadapnya. Salah satu kebaikan daripadanya ialah bilamana seseorang itu mengkaji sejarah pindaan-pindaan di bawah tajuk Kerajaan dan Perundangan, ianya memberikan petanda yang agak baik tentang bila Pilihanraya Presiden dan Umum telah diadakan!

Kebanyakan undang-undang kita digubal dengan begitu meluas agar memberikan kebebasan pentadbiran ke tangan para kakitangan awam di sudut perlaksanaannya. Ini amat merbahaya bagi kita. Saya teringat akan satu debat Parlimen pada 1995 mengenai sebuah undang-undang yang boleh menyalahkan seseorang yang berbogel samada di tempat awam ataupun persendirian, sekiranya terdedah kepada tontonan orang awam. Parlimen telahpun disyorkan bahawa undang-undang ini patut dirangkakan dengan penggunaan perkataan-perkataan yang bermaksud hanya mereka yang berbogel dengan sengaja boleh dikenakan hukuman.

Kerajaan enggan membuat pindaan-pindaan itu dengan alasan bahawa kebijaksanaan dan kebebasan bertindak oleh pihak polis dan pendakwa akan memastikan agar orang-orang yang dipaksakan berbogel tidak akan didakwa. Soalan: bolehkah anda mempercayai kebijaksanaan dan kebebasan bertindak di dalam ruang lingkup kuasa meluas yang telah diberikan itu? Ditakdirkan 2 tahun kemudian, saya telah diupah untuk membela seorang lelaki yang telah didakwa di bawah undang-undang ini walaupun berdasarkan fakta pihak pendakwa, sitertuduh telahpun dibogelkan oleh orang lain.

Keadaan ini amatlah menghampakan - dan untunglah sebab hakim berkenaan masih teringat dengan perdebatan lampau di Parlimen dan terus membebaskan pelanggan saya. Sepatutnya, pelanggan saya tidak perlu mengharungi trauma ketika ditahan, didakwa dan dibicarakan, serta perlu pula mempertahankan maruah dirinya sambil perlu membayar beberapa yuran perundangan yang tidakpun dipampaskan kembali oleh Kerajaan! Pengajaran daripada kisah ini - bergantunglah kepada undang-undang yang terbaik untuk mendapatkan hak anda, bukan kepada orang yang baik yang hanya tahu membuat undang-undang yang pincang!

Seorang teman yang terhormat memberitahu saya baru-baru ini, "Satu perkara baik mengenai PAP ialah ianya amat menyeluruh dalam penggubalan polisinya". Beliau mungkin merujuk kepada terbilangnya Jawatankuasa-jawatankuasa dan jawatankuasa kecil yang asyik mengkaji sistem ekonomi dan program penyusunan semula Singapura di mana beliau sendiri terlibat. Benak saya menyoal, samada kita bahagia hidup di dalam sistem di mana parti pemerintah secara praktiknya menentukan bila dan apa yang boleh kita perbincangkan, dan daripada golongan mana mereka sanggup mendengar buah pendapat.

Selesai sahaja Pilihanraya Umum 1997, saya berada di mahkamah dan terdengar daripada beberapa orang peguam yang Encik JB Jeyaretnam, ahli politik pembangkang veteran, telah diserahkan 8 writ saman daripada 11 Plaintif di atas kenyataan beliau semasa kempen pilihanraya mengenai laporan polis yang telah dibuat oleh teman seperjuangannya semasa itu, Encik Tang Liang Hong. Saman-saman itu menyebabkan saya menulis kepadanya dan sayapun mulai mengenali beliau dengan lebih mesra. Semasa lawatan-lawatan ke pejabatnya, saya menyaksikan timbunan permohonan-permohonan dan afidavit-afidavit yang datang bertimpa-timpa daripada berbagai firma guaman gergasi, sementara beliau dan setiausaha tunggalnya yang setia dengan bersemangat cuba untuk menyediakan jawapan-jawapan balas. Disebabkan beliau menghadapi beberapa kes saman malu, Encik Jeyaretnam pada usia 77 tahun kini terpaksa menjual buku hasil penulisannya saban hari di dalam perjuangannya untuk mengelakkan dirinya daripada diisytiharkan muflis. Siapakah yang berani mendokumentarikan perjuangan beliau ini?

Bagi saya, persoalan yang lebih menggerunkan tentang Singapura bukanlah mengenai kerajaan, tetapi rakyatnya.

Selepas Pilihanraya Umum 2001 yang lalu, seorang teman saya merungut yang rakyat Singapura terlalu akur dan taat sehinggakan mereka menurut sahaja mana-mana calon pembangkang yang nampaknya direstui oleh kerajaan dan menolak mana-mana calon yang kerajaan tidak suka. Lantas, katanya, Steve Chia daripada Parti Demokratik Singapura Bersekutu adalah calon tumpas tercorot dengan 34% undi, hanya kerana dia dipuji oleh Perdana Menteri kita sebab beliau "berceramah seperti calon PAP"; manakala Dr Poh Lee-guan daripada Parti kita memperolehi 26%. Benarkah analisis ini - bahawa rakyat bersetuju bila Perdana Menteri berkata ada golongan pembangkang yang dikatakan pembangkang baik?

Bersama rakan-rakan seperjuangan, saya telahpun menguar-uarkan Tukul (The Hammer) di beberapa lokasi di Singapura. Seperti yang dijangkakan, reaksi umum terhadap kami bercampur-baur. Namun, generasi muda (di bawah lingkungan 21 tahun) nampaknya tidak peka atau tidak memperdulikan suasana politik mahupun perihal negara sendiri. Mungkin ada yang tidak mengenali langsung logo parti kita, dan saya mengesyaki ada juga yang tidak kenal dengan logo PAP! Secara perbandingan, generasi yang lebih tua terutamanya mereka yang hampir bersara sangat kepingin untuk membaca bahan-bahan yang telah kita sediakan. Ada kemungkinan pada dekad-dekad terakhir ini di mana sistem pemerintahan satu parti telah berkuasa, kepekaan generasi muda Singapura tentang kepentingan proses politik telahpun terhakis.

Kemungkinan juga ini adalah petanda bagi permasalahan yang lebih besar - pernahkah terlintas bahawa rakyat Singapura kurang berkomunikasi dengan orang di sebelahnya? Di dalam buku, A Fortune Teller Told Me (1998, Flamingo), wartawan Itali Tiziano Terzani yang pernah bekerja di Asia selama 25 tahun membandingkan Singapura dalam 1990an dengan Singapura pada 1971. Di dalam bab "Pulau Berhawa Dingin", dia mencatitkan perbezaannya dulu dan sekarang - bila beliau memasuki lif, tiada seorang pun bersuara! Mungkin kita tidak semesra dahulu! Kehidupan kotaraya mungkin penyebabnya. Satu lagi kesan hidup kotaraya ialah pergantungan kepada pihak berkuasa awam untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul. Contohnya, berapa banyak aduankah telah kita buat kepada polis untuk mententeramkan jiran kita yang membuat bising? Kenapa tidak terus sahaja bercakap dengan jiran-jiran kita dan membiarkan polis membuat kerja yang lebih berfaedah?

Seperkara lagi, apakah kita semua sudah menjadi warganegara "lembik"? Semasa berjoging sepanjang East Coast Park pada suatu petang, saya melewati sekumpulan 10 keluarga orang Nepal sedang berkelah. Hujan mulai turun lalu saya dan orang-orang tempatan lain pantas mencari tempat berteduh. Namun, golongan orang Nepal itu terus sahaja dengan aktiviti mereka - yang lelakinya menari mengikut rentak Spice Girls, wanita mereka menyusukan bayi sambil anak-anak yang lebih besar mengambil daging panggang panas daripada dapur barbeque dengan tangan mereka sendiri lalu memakannya. Menakjubkan, saya terfikir. Patutlah orang Nepal juga yang ditugaskan mengawal kediaman Perdana Menteri!

Kerisauan tentang bercakap perihal politik ataupun menunjukkan simpati kepada pembangkang adalah sesuatu yang pincang dan salah. Saya sendiri pernah terjebak dengan perasaan sedemikian pada masa-masa tertentu. Dalam tahun 1991, saya mengundi dalam Pilihanraya Umum di daerah Ulu Pandan. Semasa itu, saya diambang kemasukan ke perkhidmatan kepolisian. Kebimbangan tentang nombor siri di atas kertas undi dan kemungkinan permohonan saya akan ditolak menyebabkan saya menyokong PAP. Mengimbas kembali peristiwa itu, kini saya tersedar ianya suatu kebodohan. Siapalah saya ini - seorang manusia kerdil yang undinya tak seberapa di mata PAP. Sekiranya saya sebagai seorang profesional boleh merasakan begitu resah-gelisah, apatah lagi orang lain? Ataupun perlukah kita menyoal sebaliknya - adakah kita akan bergantung kepada golongan profesional negara kita untuk mengambil "risiko" ini?

Semenjak itu, keinginan saya untuk membantu pembangkang mula memutik. Bibit terakhir yang mencetuskannya ialah selepas Pilihanraya Umum 2001 di mana PAP meraih 75% undi. Saya bertekad inilah masanya untuk saya berbakti - tidak ada gunanya mengharapkan barisan pembangkang yang kuat dan jitu jika tiada yang sanggup berbuat apa-apa. Saya bertemu "jaguh jalanan" Encik Low Thia Khiang pada 13 November 2001 lantas mendaftarkan diri. Pada senja pertama semasa menuju ke pejabat Parti untuk menghadiri mesyuarat, jantung saya berdebar-debar, takut kalau-kalau saya diekori.

Sekarang, ketakutan itu telah lama padam. Ianya menjadi semakin mudah saban kali dan apa yang penting adalah mengambil langkah permulaan untuk menghakiskan rasa takut yang tidak bertempat itu.

Teddy Roosevelt, Presiden Amerika Syarikat yang disegani, telah menulis ungkapan yang bertenaga ini di dalam American Ideals mengenai tahun 1897:

"Bukanlah dia yang duduk selesa menghadap unggun api sambil membaca akhbar petang lalu berkata betapa gundahnya politik dan para politikus itu yang akan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kita semua; tetapi orang yang masuk ke tengah-tengah lubuk pergolakan, ke mesyuarat asasi mahupun kemuncak politik, dan di sana mereka bertemu buku dengan ruas. Taburan bakti datangnya bukan daripada para pengkritik yang berkomentar jauh daripada gelanggang ini, tetapi oleh mereka yang sama-sama terjun ke medan perjuangan dan sanggup menghadapi apa saja..... . "

Dan sudah sepastinya, ungkapan hikmat ini perlu disesuaikan dengan konteks Singapura!

"Bukanlah dia yang berada di rumah atau pejabat sambil membaca the New Paper atau Wan Bao dan merungut tentang pemerintah atau pembangkang yang lemah yang akan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kita semua; tetapi orang yang pergi untuk meleraikan kerencatan politik pembangkang, intipan dan pengawasan, sempadan kawasan undi yang sering berubah, Perlembagaan dan Akta Pilihanraya Parlimen, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Dermaan Politik, Akta Filem, Akta Suratkhabar dan Mesin Cetak, Akta Hiburan Awam dan Perhimpunan, dan seterusnya menghadapi Parti Pemerintah dengan syarat-syarat yang berat sebelah. Taburan bakti datangnya bukan daripada para pengkritik yang berkomentar jauh daripada gelanggang ini, tetapi oleh mereka yang sama-sama terjun ke medan perjuangan dan sanggup menghadapi apa saja..... . "

Sertai Parti Pekerja - atasi rasa takut anda! Sejarah Parti Pekerja manjangkau jauh sejak Singapura meraih kemerdekaanya dan berada di mercu perjuangan di dalam menuntut kemerdekaan tersebut. Parti ini telah tekun menghadapi berbagai-bagai tribulasi politik yang mencabar sepanjang zaman di dalam usahanya untuk berkhidmat kepada para pengundi.

 

[Back to top] | [Hammer Online Contents]


Copyright © 2001 - Present. The Workers' Party of Singapore.
216-G Syed Alwi Road #02-03 Singapore 207799. All rights reserved.